I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, December 7, 2011

Teknologi Tanpa Wayar di Masa Hadapan






Pada masa hadapan, perkhidmatan tanpa wayar berasaskan lokasi dikenalpasti sebagai kunci utama di dalam mengeksplotasi kecanggihan teknologi tanpa wayar pada masa akan datang. Pada waktu itu, perkhidmatan berasaskan lokasi akan menjadi ‘lombong emas’ kepada syarikat telekomunikasi mahupun syarikat pemasaran dalam meningkatkan keuntungan masing-masing. Pada masa kini, terdapat beberapa teknologi tanpa wayar berasaskan lokasi yang telah mampu kita gunakan, sebagai contoh pengesanan lokasi pengguna di dalam peta Google, tanpa menggunakan bantuan isyarat daripada satelit, ie. GPS yang sedang berleluasa di gunakan di dalam laman sosial seperti Facebook dan Twitter. Pengguna juga turut bermanfaat daripada perkhidmatan berasaskan lokasi ini, di mana pencariah arah, maklumat dan senarai kenalan boleh didapatkan melalui peta dengan menggunakan konsep direktori awam seperti Yellow Pages.



Taktik pemasaran juga akan berubah dengan begitu dinamik, di mana pemasaran berdasarkan lokasi akan menjadi sebagai pemangkin kepada pemasaran digital. Teknologi pemasaran ini hanya perlu mengesan kedudukan pengguna peranti bergerak tersebut dan akan menghantar mesej kepada pengguna mengenai kewujudan kedai syarikat tersebut beberapa meter di hadapan pengguna dan mesej turut mengandungi jualan terkini syarikat tersebut dan mencadangkan beberapa produk lain yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna. Malahan, syarikat tersebut mampu menganalisa mengenai biodata pengguna tersebut daripada laman sosial beliau, seperti Facebook dan Twitter, dan membuat cadangan mengenai beberapa produk yang sesuai dengan cara hidup pengguna tersebut. Di sini boleh di lihat bahawa maklumat peribadi pengguna boleh digunakan dan dimanipulasi oleh syarikat-syarikat untuk manfaat mereka di dalam melariskan jualan pada masa hadapan. Jadi tidak hairanlah pada masa hadapan, akan ada pengguna yang sanggup membayar pada harga yang begitu tinggi agar maklumat peribadi mereka tidak didedahkan  secara umum. 




 Selain daripada isu maklumat peribadi, keselematan pengguna bakal terancam pada masa akan datang, terutamanya daripada penggodam dan juga virus. Pada masa hadapan, dijangkakan semua pengguna akan berkongsi maklumat peribadi mereka melalui jaringan sosial. Ini boleh menimbulkan konflik yang serius di dalam masyarakat, di mana perlindungan identiti dan maklumat peribadi menjadi salah satu cabaran utama di dalam memastikan teknologi tanpa wayar tidak menimbulkan isu dan risiko kepada pengguna. Salah satu penyelesaian ialah dengan memperkenalkan identiti unik untuk setiap pengguna peranti bergerak tersebut, ataupun Mobile DNA. Mobile DNA tersebut mampu menyimpan semua rekod transaksi dan juga maklumat-maklumat berkaitan pengguna. Untuk memastikan data tersebut tidak disalahgunakan, Mobile DNA hanya boleh dicapai oleh pelaksana sistem undang-undang sahaja seperti polis.



Selain daripada bermanfaat untuk pengguna, pada skala besarnya, teknologi tanpa wayar pada masa hadapan dijangka akan mengubah rupabentuk rangkaian topografi. Diramalkan hampir semua kawasan bandar utama akan diliputi oleh jaringan tanpa wayar, seperti WiMAX dan WiFi, di mana ianya boleh didapati secara percuma atau dibiayai oleh pihak berkuasa tempatan. Selain daripada itu, peranti bergerak dijangkakan akan menjadi sumber pemasaran terbesar, mengatasi komputer peribadi serta media massa elektronik lain yang berada di pasaran sekarang. Pada waktu itu, dianggarkan sebanyak 50% daripada seluruh populasi manusia di muka bumi akan mempunyai sekurang-kurangnya satu peranti bergerak, termasuklah di benua Afrika. Pada masa kini, benua tersebut mempunyai kadar tembusan rangkaian tanpa wayar yang begitu rendah. Ini disebabkan oleh masalah geografi dan juga faktor ekonomi, hingga melibatkan kos yang begitu tinggi untuk memasang sebuah tapak pemancar. Namun, usaha ke arah membangunkan rangkaian tanpa wayar masih dijalankan di benua berikut. Dan pada masa hadapan, dijangkakan benua Afrika akan menyaksikan penggunaan peranti bergerak untuk tujuan kempen politik.



Kempen politik tanpa wayar ini bukan sesuatu yang baru lagi di Amerika Syarikat (AS). Pada tahun 2008, dunia menyaksikan kemenengan calon kulit hitam pertama di AS, di mana Barack Obama telah dipilih sebagai Presiden AS. Selain daripada berkempen dari tempat ke tempat, parti politik beliau turut memanfaatkan teknologi komunikasi, di mana peranti bergerak turut digunakan sebagai salah satu platform untuk berkempen, di mana maklumat-maklumat dan manifesto parti beliau dihantar secara berleluasa kepada semua pengguna-pengguna peranti bergerak di dalam AS. Dasar politik dalaman menyebabkan Korea Utara menghentikan segala maklumat Internet dari dunia luar. Namun dengan kelebihan dan kemudahan yang boleh ditawarkan oleh teknologi tanpa wayar pada masa hadapan, tidak hairanlah jika kita bakal menyaksikan saingan sengit di antara Korea Utara dan Kutub Utara untuk mendapatkan capaian Internet! Korea Utara dikekang oleh dasar politik manakala Kutub Utara pula dibataskan oleh faktor cuaca yang begitu ekstrem.



Sektor perubatan turut bermanfaat di dalam memanfaatkan potensi sepenuhnya teknologi tanpa wayar. Dijangkakan pengguna pada masa hadapan hanya perlu bergantung kepada peranti bergerak untuk memantau keadaan kesihatan pengguna. Di dalam kata lain, peranti bergerak tersebut akan menjadi sebagai doktor peribadi kita! Peranti bergerak, dengan bantuan sensor-sensor kesihatan akan mampu memantau keadaan kesihatan peribadi pengguna. Selain daripada memantau keadaan kesihatan, aplikasi kesihatan tersebut akan memberi maklumat kepada hospital atau klinik kesihatan dari masa ke semasa supaya doktor atau pegawai kesihatan dapat memberikan cadangan atau membuat tindak balas lanjut terhadap pesakit tersebut. Ini berguna untuk pesaki-pesakit kronik seperti pesakit jantung, pesakit kanser ataupun pesakit yang baru sahaja keluar daripada teater pembedahan. Pada masa kini, terdapat beberapa aplikasi yang telah dibangunkan untuk tujuan itu, antaranya ialah aplikasi SmartHeart pada iPhone yang mampu mengesan perubahan denyutan nadi jantung seseorang pengguna dan memberi peringatan dan juga cadangan untuk memperbaiki tahap kesihatan pengguna tersebut. Antara aplikasi lain untuk peranti keluaran Apple ialah iHealth yang mampu mengesan kadar tekanan darah seseorang pesakit dan aplikasi lain ialah Withings Scale dan FitBit, antara aplikasi-aplikasi yang sudah mendapat tempat di dalam teleperubatan dan dijangkakan menjadi platform awal untuk menawarkan kawalan kesihatan untuk pengguna peranti bergerak.



Sektor pendidikan turut berpeluang memanfaatkan sepenuhnya teknologi tanpa wayar pada masa hadapan. Dengan kecanggihan peranti bergerak dan juga kelajuan jalur lebar berganda, kelas pembelajaran mampu di lakukan di mana-mana sahaja! Malahan, pada masa itu, pendidikan turut terbuka kepada semua golongan tanpa mengira usia! Ini dapat membangunkan masyarakat berpengetahuan, ataupun k-worker. Pada waktu itu, fungsi dan tugas sebagai pensyarah juga akan berubah – jika dahulu sesi kelas perlu dilakukan di dalam bilik kuliah, mungkin sesi pembelajaran boleh dilakukan di mana-mana sahaja.



Akhir sekali, generasi sekarang amat sukar menerima penggunaan talian telefon tetap, sebagai contoh perkhidmatan telefon berbayar menggunakan wang syiling yang masih digunakan oleh generasi-generasi terdahulu, terutamanya bagi mereka yang duduk di kawasan luar bandar. Mungkin mereka tidak sedar bahawa satu hari nanti, generasi muda pada masa hadapan kekok untuk menerima hakikat yang generasi sekarang pernah menggunakan peranti bergerak untuk membuat panggilan telefon! Terdapat kajian-kajian yang giat dilakukan, di mana komunikasi sesama manusia mampu dilakukan dengan hanya menghantarkan isyarat impuls sahaja! Mungkin teknologi ini memerlukan masa berpuluh tahun lagi untuk dicapai, tetapi ahli-ahli sains pada masa sekarang sedang berusaha untuk membangunkan pengantaramuka yang akan membenarkan manusia untuk untuk berkomunikasi secara langsung melalui rangkaian otak sesama manusia melalui isyarat komputer. Jadi tidak hairanlah jika di dalam masa 50 tahun akan datang ilmu telepati bakal menjadi realiti! Pada masa itu, pembedahan implan perlu dilakukan untuk pengguna menikmati perkhidmatan tersebut. Sebagai tambahan, alat paparan LCD dan peranti masukkan turut menjadi sebahagian daripada anggota tubuh badan kita, di mana paparan LCD boleh diletakkan di dalam kanta mata. Antara risiko yang perlu di ambil kira ialah apabila berlakunya serangan virus ataupun godaman. Pada ketika itu, kesan serangan bukan sahaja melibatkan maklumat digital, malahan, mungkin dapat menjejaskan kesihatan mental seseorang!



Jika semua ramalan tersebut bertukar menjadi realiti, tidak mustahil dalam masa terdekat kita akan menikmati kemajuan di dalam teknologi tanpa wayar ini. Dari aspek urusan harian kita dan juga keselematan pengguna, teknologi tanpa wayar akan memberi fungsi yang begitu selesa dan mudah, di mana urusan harian dapat dilakukan melalui telunjuk jari sahaja!



Sebagai penutup, teknologi tanpa wayar bergerak maju pada kadar yang begitu laju. Mungkin ramalan tersebut hanya tinggal menjadi khayalan semata-mata – hanya masa sahaja menentukan. Persoalan utama ialah sejauh manakah kita sebelum dapat menikmati teknologi tanpa wayar tersebut? Adakah masa hadapan tersebut dapat dikecapi dalam masa terdekat atau lebih tertumpu kepada generasi akan datang? Adakah mampu untuk kita mengadaptasi teknologi tersebut untuk manfaat harian kita pada masa hadapan? Pelbagai persoalan berlegar di kepala, namun apa yang pastinya, setiap teknologi baru yang diperkenalkan ada kebaikan dan keburukan sendiri. Manusia seharusnya tahu membezakan yang baik dan buruk demi kebaikan bersama.


No comments:

Post a Comment